Wednesday, March 12, 2014

PERCERAIAN FASAKH DAN PERUNTUKAN UNDANGT-UNDANG

FASAKH

Fasakh ditakrifkan sebagai pembubaran atau pembatalan perkahwinan oleh perintah hakim. Oleh yang demikian, fasakh dan talak adalah berbeza. Ini kerana talak adalah kehendak suami manakala fasakh pula melalui perintah hakim.

Keharusan Fasakh Dalam al-Quran tiada peruntukan fasakh dinyatakan secara terang. Keharusan fasakh hanya didasarkan kepada larangan melakukan kemudaratan sepertimana sabda Rasulullah s.a.w: لا ضرر ولا ضرار Maksudnya: Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan. Menurut pendapat al-Suyuti dan Ibn Nujaym, dalam hadis ini Rasulullah s.a.w menyentuh tentang larangan membawa mudarat atau melakukan darar ke atas orang lain. Hadis ini kemudiannya diterima sebagai kaedah fiqhiyyah dalam memahami peruntukan hukum syarak. الضرر يزال Maksudnya: Kemudaratan hendaklah dihilangkan. Kaedah fiqh ini memberi ruang untuk menuntut fasakh dalam perkahwinan yang mengandungi unsur-unsur darar ke atas satu pihak yang lain sama ada kerana keaiban ataupun salah laku pasangannya.

Sebab-sebab yang Mengharuskan Fasakh Terdapat beberapa sebab yang membolehkan suami atau isteri menuntut fasakh antaranya suami ghaib, suami gagal memberi nafkah, fasakh kerana dihukum penjara, fasakh kerana keaiban atau kecacatan, suami mati pucuk dan fasakh kerana penganiayaan (darar). Di bawah ini pengkaji akan menjelaskan setiap satu sebab-sebab yang membolehkan tuntutan fasakh.

 a) Fasakh dengan sebab ghaib Secara umumnya, ghaib membawa maksud lawan kepada ada atau hadir iaitu apa yang tidak dapat dilihat oleh mata. Ini bertepatan dengan definisi dari segi bahasa, ghaib ialah apa yang tidak nampak oleh mata sekalipun ada di hati. Ulama mazhab Hanbali dan Maliki berpendapat, sekiranya perbuatan tinggal langsung atau ghaib itu memakan masa yang lama, yang menyebabkan isteri mengalami kemudaratan, sekalipun suami meninggalkan harta yang boleh digunakan sebagai perbelanjaan nafkahnya sepanjang peninggalannya, maka mereka harus dipisahkan kerana isteri telah mengalami penderitaan yang berat sepanjang ketiadaannya.

 b) Fasakh kerana kegagalan memberi nafkah Suami adalah berkewajipan memberi nafkah terhadap isterinya. Sekiranya suami tidak memberi nafkah sedangkan dia kuat tubuh badan serta mempunyai pekerjaan dan harta, maka isteri boleh menuntut fasakh. Firman Allah s.w.t:  Maksudnya: Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri. Semua fuqaha membenarkan perceraian atas alasan ini dan mereka sependapat bahawa hakim sahaja yang berkuasa untuk memerintahkan perceraian selepas isteri membuat pengaduan ke mahkamah.

 c) Fasakh kerana di hukum penjara Jumhur fuqaha selain ulama mazhab Maliki berpendapat isteri atau suami tidak berhak menuntut fasakh apabila salah satu pihak dihukum penjara. Manakala Mazhab Maliki pula berpendapat mahkamah boleh menfasakhkan nikah apabila suami dipenjara selama setahun atau lebih. Oleh itu, apabila tempoh penahanan suami itu berlanjutan selama setahun atau lebih, maka isteri atau suami berhak menuntut pembubaran perkahwinan melalui hakim. Pembubaran ini dikira talak ba’in manakala mengikut ulama mazhab Hanbali pula perceraian ini dikira fasakh.

 d) Fasakh kerana keaiban atau kecacatan Perkataan aib dari segi bahasa arab adalah tanda yang memalukan. Manakala apabila dihubungkan dengan urusan suami isteri, para ilmuan Islam mendefinisikan aib sebagai kecacatan yang berlaku kepada pihak suami atau isteri, terutamanya yang melibatkan alat kelamin yang boleh menjadi penyebab kepada tidak tercapainya objektif persetubuhan dalam pernikahan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang dibenarkan fasakh iaitu gila, kusta, sopak, tertutup alat kelamin dengan daging atau dengan tulang, terpotong alat kelamin dan tidak berupaya melakukan hubungan kelamin iaitu mati pucuk.

 e) Fasakh kerana penganiayaan (darar) Apabila berlaku pergaduhan antara suami dan isteri, ia mungkin boleh membawa kepada tindakan yang tidak diingini, seperti berlakunya penderaan ke atas isteri contohnya isteri mungkin dipukul, ditendang, ditumbuk sama ada secara sedar atau tidak dalam perbalahan yang berlaku. Pada masa yang sama, ada juga suami yang bertindak ganas dan tidak melayan isteri secara wajar sebagaimana dikehendaki syarak. Walaupun tiada sebarang perselisihan ada suami yang sering melakukan penderaan ke atas isterinya. Sekiranya wujud penderaan sebegini maka isteri boleh mengadu kepada mahkamah. Darar ertinya suami melakukan sesuatu yang tidak diharuskan syarak seperti meninggalkan isteri tanpa sebab atau memukul isteri tanpa sebab atau menghina isteri atau menghina keturunan isteri.

  Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh 

Seterusnya peruntukan fasakh boleh dilihat di dalam seksyen 53 di bawah ini dikemukakan peruntukan yang terdapat di dalam seksyen ini:

 (1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu-
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
 (b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
 (c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
 (d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
 (e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
 (f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
 (g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
 (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain-
 (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
 (ii) berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
 (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
 (iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan haknya di sisi undangundang terhadap harta itu;
 (v) menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; (vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil menurut kehendak Hukum Syarak;
 (i) bahawa walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan disetubuhi;
 (j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak; (k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord.31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
 (l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak
 (2) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan.
 (3) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan
 (1)(c) sehingga hukuman itu telah menjadi muktamad dan suami atau isteri telah pun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.
 (4) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan
(1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh satu tahun dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah dibuat atas alasan itu.
 (5) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen
 (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkahlaku sedemikian terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

 Di dalam seksyen ini telah disenaraikan beberapa alasan yang boleh seseorang itu menuntut fasakh di mahkamah, jika alasan tersebut dapat dibuktikan maka mahkamah akan membubarkan perkahwinan tersebut.

 "PENULISAN INI ADALAH HASIL DARI LATIHAN ILMIAH YANG PENULIS HASILKAN"

No comments: