Wednesday, March 12, 2014

PERCERAIAN TAKLIK DAN PERUNTUKKAN UNDANG-UNDANG

TAKLIK

 Taklik membawa pengertian tergantung iaitu talak yang digantungkan dengan sesuatu perkara atau perbuatan, sama ada perbuatan itu dilakukan oleh si isteri atau oleh si suami sendiri. Talak taklik berlaku apabila suami melafazkan talak dengan disandarkan waktu seperti suami berkata kepada isterinya akan bercerai pada bulan tertentu atau masa tertentu. 

 Lafaz talak taklik juga ialah seperti suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat. Contohnya suami melafazkan taklik dengan mengaitkan sifat seperti “aku ceraikan kamu ketika kedatangan ayahmu ke rumah ini”. Manakala contoh lafaz taklik dengan mengaitkan syarat pula ialah “aku ceraikan kamu jika kamu keluar dari rumah ini”. 

 Asas kepada talak taklik ini dipetik di dalam al-Quran surah al-Ma’idah ayat 1, firman Allah s.w.t:-  Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dalam kitab fiqh juga menyebutkan maksudnya: Adalah dibolehkan mencerai dengan taklik seperti juga janji memerdekakan hamba atas syarat dan tidak dibenarkan menarik balik sebelum kejadian perkara itu dan perceraian itu akan terjadi apabila apa yang disyarat itu terjadi. 

Oleh itu, para imam mazhab yang empat berpendapat, jatuh talak jika salah satu pihak telah melanggar syarat yang telah dilafazkan oleh suami, sama ada lafaz tersebut merupakan perbuatan bagi salah seorang daripada suami isteri ataupun suatu perkara luar daripada perbuatan manusia dan sama ada taklik itu sebagai sumpah iaitu menghalang atau mengarahkan melakukan sesuatu perkara. 2.3.1 Kesan Talak Taklik Talak taklik tidak akan jatuh selagi perkara yang dikaitkan dengan sesuatu perkara itu tidak berlaku dan pasanggan suami isteri itu akan terus menjalani kehidupan berumah tangga seperti biasa. Apabila berlaku perlanggaran lafaz talak taklik, maka pasangan suami isteri itu telah bercerai dan suami tidak perlu melafazkan talak yang baru. 

  Perceraian di bawah taklik atau janji 

Peruntukan perceraian talak taklik boleh dilihat di bawah seksyen 50 dan segala acara perceraian ini terdapat di dalam seksyen ini seperti berikut:

 (1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku. 
 (2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan Kes perceraian mengikut seksyen ini hanya hakim sahaja yang boleh memerintahkan sama ada sabit perlanggaran taklik atau sebaliknya walaupun pihak suami tidak bersetuju untuk bercerai. 

 "HASIL PENULISAN INI MERUPAKAN HASIL LATIHAN ILMIAH PENULIS SENDIRI"

No comments: